Selasa, Ogos 18, 2009

BERSAMA KELUARGA KE ZOO NEGARA

Baru-baru ni, saya bersama keluarga telah berkunjung ke Zoo Negara di KL. Dah lama pun janji dengan anak-anak dan zaujah nak ke sana, tapi baru masa tu lah yang ada masa lapang lama sikit... Memang suka dan ceria betul mereka tu... Almaklumlah selama ni sebahagian binatang yang mereka lihat tu cuma dengar nama je sebelum ni...

Ni gambar anak-anak dan zaujah depan pintu masuk..Diaorang semua ni, kalau bergambar memang muka selamber jer...


































Awas!!!Belalai gajah belakang tu macam dah nak kena kepala abang..!!!


















Ni semua anak-anak saya (harta-harta Allah)... Amjad Ahmad (kanan), Anwar Humaidi (tengah) dan Sarah (tengah)


















Maidi dengan Sarah pegang kuat-kuat!!! Badak tu nak masuk dalam air...


















Abang dengan Maidi kat depan Children World...

Semuanya menjadi kenangan manis yang sentiasa disebut-sebut oleh anak-anak semua...

SAMBUTAN AMBANG RAMADHAN 1430H MASJID ITTIFAQIYAH, TAMAN SERI INDERAPURA

Alhamdulillah, dengan kerjasama dari semua AJK, ahli jamaah dan qariyah TSI, program tersebut dapat dijayakan dengan sukses...
Berikut adalah gambar-gambar disekitar majlis tersebut..

PERBEZAAN ITU "RAHMAT"...

Sama-samalah kita renung sejenak dan berfikir… Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita. Sistem badan lelaki dan wanita pun tidak sama. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga. Kulit lelaki lebih kasar, kulit perempuan lebih halus. Perempuan lebih halus suara berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya. Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan Tuhan dengan struktur tubuh bagi melahirkan anak. Demikian juga pada segi psikologi , wanita secara umum lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasan.

Apabila mengamati benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih menggunakan pengamatan tumpuan. Manakala wanita menggunakan lebih pengamatan luas dan membesar. Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Manakala, pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda. Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara besar. Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.

Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit, surat-surat penting dan kad kredit bank. Dalam beg tangan wanita semuanya ada dompet duit, kad kredit, buku bank, buku cek, ada alatan make-up, cermin, sikat rambut, tisu muka, pengetip kuku, kunci pen, pensel, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon, tuala ??? dan macam-macam lagi. Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita? Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh berlaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar. Pada lelaki,cukup dengan lesen memandu dan duit. Sebab mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk membeli.Lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.

Demikianlah perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita. Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara secara berbeza. Urusan-urusan rumah tangga kadang-kadang ditangani secara berbeza. Contohnya, suami isteri yang kedua-duanya bekerja,mereka terpaksa keluar dari rumah awal pagi. Dalam banyak hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut. Suaminya, apabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian tunggu isteri. Matlamat mereka ke pejabat. Manakala si isteri, memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi . Kalau bolehnya, dia mahu memikirkan semua benda, kerana padanya, pabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya? Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya beres.

Apabila si suami dan si isteri ke kompleks membeli belah: Si isteri, apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah dia melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain ini dipegang, diperhatikan dieselkan. Kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli. Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan membeli. Membeli belah pada lelaki tidak mengambil masa yang lama seperti perempuan.

Contoh-contoh tersebut menunjukkan wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki. Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja. Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mengangkat botol susu anak, kain lampin anak, dan berbagai lagi untuk dibawa ke rumah pengasuh.

Akuilah kita berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya bagi saling membantu dan berkasih sayang. Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang. Jangan disebabkan perbezaan pada cara berkasih sayang antara lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh tahun. Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita itu, maka kita lebih berkasih sayang. Kerana itu, kita berbeza supaya saling sayang-menyayangi.

Khamis, Ogos 13, 2009

GAMBAR BENGKEL KHUTBAH JAB. MUFTI DI SELESA HILLHOMES

Gambar kenangan Bengkel Khutbah Jab. Mufti di Selesa Hillhomes (5-8 Ogos 2009)

YH. SS Mufti Dato' Hj. Abdul Rahman, YH. Dato' Yaakob Isa (AJK), Ust. Ghazali (JMufti) ,Ust. Rosli (JMufti), Ust. Soleh (AJK), Ust. Azhar Jaafar (Penulis), Ust. Ramli Hasan (Penulis) dan Ust. AbdulWahid alHafiz (Penulis). (tiada dalam gambar : Ust. Ainuddin, Ust. Hafiz dan Ust. Azlan)














JANDA BAIK DALAM KENANGAN

Janda baik merupakan sebuah kampung tradisional tersusun. Letaknya di daerah Bentong berdekatan dengan Bukit Tinggi (lebih kurang 10km dari Highway Karak-KL). Forum Bicara Mufti ke 2 (sepanjang Bengkel Khutbah di Selesa Hillhomes) telah berlangsung di Masjid Kg. Janda Baik pada 6/8/2008 (Jumaat) bermula 8 malam.
Sebenarnya rombongan Jabatan Mufti telah ke kampung ni mulai 9 pagi lagi (Group Ust. Rosli, Ust. Ghazali dan En. Zaidi, Dato' Yaakob dan Ust. Soleh pun ikut sama...). Saya sampai lewat sikit numpang kereta Ust. Azlan (Ingatkan dia tahu jalan tapi sesat sampai ke Bentong...). Pengalaman sesat tu banyak hikmahnya.
Tujuann rombongan ke Janda Baik untuk mengukur arah kiblat (mempastikan sahaja) dan meletakkan pancang kiblat di 2 lokasi iaitu Masjid dan tanah perkuburan. Bila kerja-kerja tu semua dah siap, kami telah dibelanja minum oleh Pengerusi Masjid di sebuah restoran berdekatan. Disamping makan mee goreng, ada juga buah bidara dan buah naga yang dibawa oleh anak saudara pengerusi untuk kami rasa.
Forum bicara mufti tamat lebih kurang pukul 9.45 malam dan kami telah dijamu oleh AJK dengan nasi lemak special Janda Baik. Memang sedap hingga menjilat jari... Ianya memang satu pengalaman yang tak akan saya lupakan selamanya....

PENGALAMAN PERTAMA KE PUNCAK GENTING HIGHLAND

Pada 5/8/2009 lepas saya bersama rombongan daripada Jab. Mufti Pahang telah bersama-sama ke puncak Genting Highland tepatnya di Masjid Qariah Genting untuk program Bicara Mufti. Kata orang pengalaman pertama dalam melakukan sesuatu perkara merupakan hal yang sukar dilupakan. Inilah kali pertama saya ke Genting Highland. Setakat nak jalan-jalan rasanya tak naiklah ke sana sebab jalannya memang berbelok-belok melalui bukit-bukit yang kadar kecuramannya memang menyeramkan. Tambahan pula waktu saya naik tu dah nak masuk waktu maghrib, jadi kabus pun dah mulai menyelubungi jalan. Namun disebabkan dah setuju dengan pelawaan Ustaz Rosli Jaafar dari Jabatan Mufti, jadi kenalah tepati janji. Lagipun masa naik tu ada ahli rombongan lain yang sama-sama naik kereta saya (Ustaz Soleh, Dato' Yaakob dan isteri) jadi taklah gayat sangat. kalau sorang-sorang memang tak naik...
Sampai sahaja di masjid Qariah Genting Highland, kami telah disambut dengan begitu mesra oleh Imam, para pegawai masjid serta AJK. Masjid ni terletak di tingkat bawah sebuah bangunan di puncak Genting. Koridor ke pintuk masuk utamanya menghadap ke sebuah gaung yang cukup curam tetapi dari situ kita dapat menyaksikan pemandangan situasi pergunungan bumi ciptaan Allah yang sangat cantik. Sebelah atasnya ialah Balai Polis Genting. Selepas solat maghrib kami telah dijamu dengan kueh mueh tradisional dan teh tarik (tak sampai 5minit dah sejuk).

Forum bermula pada jam 8.15 malam dengan ahli panelnya ialah YBhg SS Dato' Hj. Abbdul Rahman Hj. Othman, Mufti negeri Pahang dan saya sendiri sebagai panel kedua. Pengerusinya ialah Ustaz Azlan Abdul Rahman. Forum tamat lebih kurang 9.45 malam.


Selepas mengimamkan solat Isyak, kami telah dijamu dengan jamuan makan nasi ala masakan kampung dengan ulam-ulaman oleh AJK. Bila perut dah lapar ditambah pulak dengan lauk pauh yang sesuai dengan selera, makan pun mesti tambah.

Lebih kurang 10.45 malam, kami mula bertolak turun ke hotel penginapan di Selesa Hillhomes. Pengalaman turun lebih mudah dari waktu naik kerana jalannya tidaklah securam waktu naik dan kabus pun dah mulai menipis. Begitulah kehebatan bumi ciptaan Allah yang penuh dengan keajaiban. Manusia telah menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menemukan cara membangunkannya, walaupun di atas gunung dengan kadar kecuraman dan impak bahaya yang maksima. Sudah tentu ianya merupakan satu pengalaman manis yang sukar dilupakan sampai bila-bila.... T/kasih dan tahniah kpd pihak Jabatan Mufti dengan program yang cukup bermakna ni (YH SS Dato', Ust. Azlan, Ust. Rosli, Ust. Ghazali, En. Zaidi dll). Mudah-mudahan dapat diteruskan di masa-masa akan datang di tempat lain pulak...

Rabu, Ogos 05, 2009

TITAS DAN CABARAN SEMASA

Pemuatan kupasan tentang isu dialog tamadun dalam kursus TITAS juga mempunyai hubungkait dengan teori Huntington. Dialog tamadun adalah salah satu reaksi terhadap teori tersebut. Sewaktu saya memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan & Sumber Manusia) Universiti Malaya (1995-2000) saya telah mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Dialog Peradaban pada tahun 1996. Di antara tujuannya ialah untuk menggalakkan dialog antara budaya dan tamadun, khususnya antara dunia Islam dan Barat. Seperti banyak pihak lain di dunia yang cukup memahami percaturan politik antarabangsa Amerika Syarikat kita memandang serius terhadap teori Huntington bukan kerana kebenaranya tetapi kerana implikasi politiknya kepada dunia. Kita penuh yakin bahawa teori itu tidak benar. Tetapi kita sedar bahawa di Amerika Syarikat teori yang kurang berasas kadangkala boleh diambil oleh para pembuat dasar untuk dijadikan dasar negara yang boleh mengancam keselamatan dan kedamaian banyak negara di dunia. Sehubungan dengan isu ini kita juga sedar bahawa Huntington adalah seorang ilmuwan yang mempunyai hubungan rapat dengan kelompok-kelompok tertentu di kalangan pembuat dasar dan pendesak politik. Sebagai kuasa terbesar di dunia Amerika Syarikat boleh menggunakan kuasanya untuk menterjemahkan teori kepada realiti. Kebimbangan terhadap pengaruh teori Huntington adalah beralasan.

Bagi menunjukkan betapa seriusnya pihak kita terhadap program dialog tamadun demi membendung kesan-kesan negatif teori Huntington maka pada bulan Mac 1995 Universiti Malaya telah menganjurkan seminar antarabangsa mengenai Islam dan Konfusianisme. Pada tahun berikutnya Huntington sendiri telah datang ke Malaysia atas undangan Universiti Malaya untuk menghadiri seminar tentang hubungan antara Islam, Jepun dan Barat. Sejak itu Pusat Dialog Peradaban telah mengadakan banyak dialog tamadun di berbagai-bagai peringkat secara berterusan hingga sekarang ini. Yang saya ingin menarik perhatian di sini ialah bahawasanya dialog-dialog tamadun antarabangsa di peringkat awal inisiatif dialog tersebut telah mempengaruhi falsafah dan isi kandungan kursus TITAS. Pemilihan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya sebagai sekretariat dan penyelaras pertama kursus TITAS adalah juga kerana peranan penting yang dimainkan olehnya pada bahagian kedua dekad 1990an dalam memperkembang dan mempopularkan aktiviti dialog tamadun di negara ini.

Walaupun dialog tamadun terus berkembang dan menjadi semakin popular di dunia sehingga mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengisytiharkan tahun 2001 sebagai Tahun Dialog Antara Tamadun, namun tidak ada institusi pengajian tinggi di dunia yang telah mengambil langkah untuk mewujudkan program pengajian tamadun dan ketamadunan untuk para pelajar masing-masing selain di Malaysia. Apabila saya memaklumkan wujudnya kursus TITAS kepada pihak-pihak tertentu dalam program-program dialog antarabangsa yang saya hadiri mereka berasa kagum dengan kursus ini. Menurut mereka alangkah baiknya sekiranya negara-negara lain mencontohi Malaysia dalam hal ini. Kali terakhir saya mendengar reaksi positif di peringkat antarabangsa terhadap kursus TITAS ialah sewaktu saya menghadiri seminar antarabangsa tentang “Perikatan Tamadun-Tamadun” (“Alliance of Civilizations”) tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Doha, Qatar pada bulan Februari 2006. Seminar itu telah dirasmikan oleh Kofi Annan, Setiausaha Agung PBB ketika itu. Ternyatalah bahawa keunikan kursus TITAS telah diakui oleh pihak-pihak yang menyedari kewujudan dan matlamatnya.

***********

Adalah diakui bahawa tidak semua tamadun dunia diajarkan dalam kursus TITAS. Sebagai sebuah kursus pengajian bernilai sekadar dua unit, adalah mustahil baginya untuk memuatkan pengetahuan dan perbincangan tentang semua tamadun manusia yang masih hidup. Pemilihan yang bijaksana perlu dibuat. Hanya tamadun-tamadun tertentu dipilih untuk dijadikan bahan pembelajaran para pelajar.

Pertimbangan terpenting dalam membuat pemilihan ini adalah kepentingan negara. Kita semua sedia maklum bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang berbilang bangsa, agama dan kebudayaan. Fakta sosial ini menjadikan isu perpaduan kaum sebagai isu negara yang terpenting. Oleh yang demikian, tamadun-tamadun yang dipilih untuk diajar mestilah yang paling relevan dengan cita-cita negara untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama. Ini bermakna bahawa tamadun-tamadun yang dipilih seharusnya mempunyai hubungan rapat dengan pandangan dan cara hidup kelompok-kelompok etnik dan agama di negara ini.

Dalam kursus ini, selaras dengan hakikat kepelbagaian masyarakat negara ini, empat buah tamadun dipilih untuk dibincangkan secara khusus dalam bab-bab yang berasingan. Tamadun-tamadun ini ialah tamadun Islam, tamadun Melayu, tamadun India dan tamadun Cina. Selain tamadun-tamadun ini tamadun Barat moden juga dibincangkan. Cuma ia tidak dibincangkan sebagai sebuah bab yang berasingan. Sebaliknya, beberapa aspek peranan dan pengaruh tamadun Barat moden dalam sejarah umat manusia ada dibincangkan dalam hubungannya dengan keempat-empat tamadun tersebut. Sedikit sebanyak perbincangan tentang tamadun Barat terdapat dalam setiap bab buku ini. Khususnya, terdapat perbincangan tentang bagaimana tamadun Islam, tamadun Melayu, tamadun India dan tamadun Cina masing-masing pada zaman moden menerima pengaruh daripada tamadun Barat moden.

Kewajaran kursus TITAS adalah disandarkan pada hakikat bahawa melalui pengaruh masing-masing dan juga pengaruh bersama, tamadun Melayu, tamadun India, tamadun Cina, tamadun Islam dan tamadun Barat moden telah meninggalkan kesan mendalam ke atas perkembangan ciri-ciri kepelbagaian masyarakat Malaysia. Dalam konteks ini kedudukan tamadun Melayu adalah paling istimewa. Selain merupakan tamadun kepada kelompok etnik yang terbesar di negara ini tamadun Melayu juga merupakan tamadun yang paling banyak dipengaruhi oleh empat tamadun yang lainnya. Pengaruh tamadun India, tamadun Cina, tamadun Islam dan tamadun Barat moden ke atas pembangunan tamadun bangsa Melayu ternyata besar sekali. Hubungan ketamadunan yang terjalin dalam sejarah antara tamadun-tamadun besar ini elok diketahui oleh para pelajar kerana ia boleh menimbulkan kesedaran dan rasa penghargaan yang tinggi terhadap kekayaan warisan budaya masyarakat Malaysia hari ini.

Salah satu tujuan utama kursus TITAS ialah untuk menyumbang kepada pencapaian cita-cita negara untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat negara ini. Menerusi pengajian tamadun-tamadun yang telah dipilih adalah diharapkan bahawa para pelajar akan lebih maklum tentang latarbelakang sejarah kepelbagaian masyarakat kita. Mereka akan dapat melihat penonjolan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam diskusi tentang setiap tamadun yang diketengahkan. Dengan itu mereka akan memahami bahawa ada banyak kesamaan pada nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang mendasari tamadun-tamadun yang dikaji, termasuk nilai-nilai yang bersifat keagamaan. Memang para pelajar akan dapati bahawa tamadun-tamadun ini mempunyai perbezaan dalam banyak aspek. Tetapi yang pentingnya ialah kesedaran bahawa terdapat banyak juga nilai sepunya yang menyatukan tamadun-tamadun ini.

Kesedaran ini mempunyai nilai pendidikan yang sangat tinggi. Kesedaran mendalam di kalangan rakyat tentang nilai-nilai sepunya adalah suatu perkara yang amat dihargai oleh setiap masyarakat majmuk yang jujur dan gigih untuk menyelesaikan masalah-masalah daripada kepelbagaian budayanya kerana ia boleh membantu memupuk perpaduan rakyat. Nilai-nilai sepunya boleh dianggap sebagai jambatan budaya yang menghubungkan antara satu tamadun dengan yang lain. Setiap pengajar kursus TITAS boleh menjelaskan bagaimana nilai-nilai sepunya ini berperanan dalam pembangunan tamadun dalam setiap tamadun yang diperkatakan. Sebagai contoh, dengan berpandukan buku ini dia boleh merujuk kepada nilai-nilai sepunya dalam institusi keluarga; nilai-nilai keilmuan sepunya; unsur-unsur sepunya dalam kosmologi dan sains; dan seterusnya.

Perbezaan yang wujud antara satu tamadun dengan yang lain juga perlu ditangani dengan bijaksana. Perlu ada sikap positif terhadap perbezaan sama ada perbezaan dari segi kepercayaan, anutan nilai, pendapat atau adat resam. Sikap positif ini perlu diterjemahkan kepada amalan toleransi terhadap cara hidup lain yang tidak sebulu dengan cara hidup kita dalam kehidupan harian. Adalah diakui bahawa perbezaan budaya boleh mencetuskan ketegangan dan konflik antara budaya. Tetapi perbezaan juga boleh dilihat sebagai salah satu manifestasi hikmah kepelbagaian dalam alam ciptaan Tuhan dan dalam dunia kehidupan manusia. Oleh itu, ia boleh dilihat sebagai sumber kekuatan masyarakat. Adalah menjadi harapan kursus TITAS ini agar pendedahan para pelajar kepada tamadun yang berbagai-bagai ini tidak akan menimbulkan tanggapan yang salah dalam fikiran mereka terhadap realiti kepelbagaian agama dan budaya di negara ini. Kita tidak mahu mereka bersikap pesimistik terhadap masa depan negara semata-mata kerana ada terlalu banyak unsur perbezaan yang memisahkan antara satu kekompok etnik dan agama dengan yang lain. Sebaliknya, kita ingin melihat mereka bersikap optimistik dan mempunyai keyakinan bahawa cabaran kemajmukan dan kepelbagaian terhadap kesejahteraan negara boleh diatasi.

Kita menganggap kursus TITAS sebagai berjaya dari segi menyumbang kepada keharmonian agama dan kaum sekiranya kesedaran mendalam terhadap kepentingan nilai-nilai bersama sebagai faktor penyatuan masyarakat dan kesedaran mendalam terhadap kepentingan perbezaan dan kepelbagaian sebagai punca kekayaan dan kekuatan masyarakat dapat dipupuk dalam diri pelajar. Pendekatan yang dianjurkan di sini terhadap penyelesaian masalah kepelbagaian tamadun, agama dan budaya tidak bertujuan untuk melemahkan pegangan seseorang pelajar kepada ajaran-ajaran agama dan nilai-nilai ketamadunan yang dipercayaainya. Tidak ada percanggahan antara pendekatan yang dimaksudkan dengan komitmen kepada nilai-nilai tradisi sendiri. Yang hendak dicapai menerusi pendekatan tersebut di atas ialah rukun hidup bermasyarakat yang boleh menjamin kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan bagi masyarakat majmuk seperti Malaysia. Seorang pelajar Islam, misalnya, boleh berpegang teguh pada nilai-nilai hidup yang diajarkan oleh agama Islam tetapi pada masa yang sama bersedia untuk menunjukkan toleransi terhadap agama dan budaya lain.

Ada banyak lagi nilai kebaikan yang terdapat pada kursus TITAS ini. Demi memelihara kesinambungan nilai-nilai murni yang sangat ditekankan dalam pelbagai tamadun tradisional bab terakhir buku ini menumpukan perhatian kepada isu-isu semasa yang boleh mengancam dan menghakis nilai-nilai tersebut. Bolehlah kursus TITAS disifatkan sebagai suatu usaha terpuji untuk memelihara nilai-nilai ketamadunan daripada terhakis oleh kuasa-kuasa anti-tamadun zaman kontemporari supaya pembangunan sebenar tamadun manusia boleh diteruskan. Sudah semacam diterima sebagai sebuah bentuk hikmah oleh ahli-ahli ilmu ketamadunan bahawa agama adalah merupakan intisari tamadun. Oleh sebab itu kedudukan dan peranan agama dalam setiap tamadun yang dipelajari mendapat liputan yang lebih luas daripada aspek-aspek tamadun yang lain. Dalam kes tamadun Islam sudah pastinya kedudukan dan peranan agama menjadi sangat tertonjol kerana penamaan tamadun itu sendiri berasaskan agama Islam.

Dalam perspektif ini agama memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa nilai-nilai ketamadunan yang murni akan terus terpelihara. Rata-rata di dunia hari ini generasi muda sudah terputus dengan sejarah zaman silam. Bagi kebanyakan mereka sejarah tidak lagi penting untuk diketahui. Sudah menjadi suatu trend dalam kehidupan mereka untuk tidak lagi menghormati nilai-nilai tradisional. Sebaliknya nilai-nilai ini dilihat sebagai suatu yang sudah usang dan tidak relevan lagi kepada cara hidup zaman sekarang. Masalah-masalah ini berlaku pada tahap yang paling ketara dan paling kritikal di dunia Barat. Tetapi fenomena-fenomena negatif ini sudah banyak menular ke dalam masyarakat Malaysia sendiri. Adalah diharapkan kurus TITAS dapat membantu dari segi membendung penularan gejala-gejala negatif ini ke tahap yang serius yang boleh memusnahkan tamadun. Tamadun manusia yang semata-mata bersifat atau berbentuk material dan sudah kehilangan nilai-nilai kemanusiaan yang bersifat spiritual sebenarnya tidak layak lagi digelar tamadun. Tamadun seperti itu tak ubah seperti jasad manusia tanpa ruh. Dengan kata lain, pada hakikatnya tamadun kebendaan semata-mata sudah pun merupakan sebuah tamadun yang sudah mati atau yang sudah sampai ke penghujung hayatnya. Oleh yang demikian, amat mustahak nilai-nilai ketamadunan sejati terus terpelihara dalam masyarakat kita.

Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini isu dialog antara tamadun juga mendapat tempat dalam kursus TITAS ini. Saya ingin menjelaskan lebih lanjut tentang isu ini tetapi dengan merujuk secara lebih khusus kepada situasi di negara kita. Pada pendapat saya, pemuatan isu ini dalam kursus adalah suatu keputusan yang sangat bijak. Dalam masyarakat majmuk yang berbilang agama dan berbilang bangsa amat mustahak diadakan pelbagai jenis dialog di berbagai-bagai peringkat yang boleh mempertemukan kelompok-kelompok agama dan etnik yang berlainan. Tujuannya ialah supaya mereka saling kenal mengenali dan supaya wujud persefahaman di kalangan mereka. Dialog seharusya dilihat sebagai suatu usaha untuk memperkukuhkan perpaduan masyarakat. Dialog yang diperlukan bukan aktiviti bermusim dan yang berbentuk seminar sahaja. Ia harus dilihat sebagai aktiviti komprehensif yang meliputi semua usaha untuk mencari persefahaman di kalangan semua kelompok agama dan etnik di negara ini. Yang paling penting sekali ialah dialog antara agama, budaya dan tamadun hendaklah dibudayakan dalam masyarakat kita.

Adalah menjadi harapan kita semua agar buku ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kursus TITAS di institusi-institusi pengajian tinggi awam kita; baik kepada para pensyarah yang mengajar mahu pun kepada para pelajar yang diwajibkan mengikuti kursus ini. Malah kita berharap buku ini juga akan menarik perhatian masyarakat umum supaya masyarakat seluruhnya akan terdidik dengan nilai-nilai ketamadunan dan mempunyai sikap positif terhadap dialog budaya dan tamadun.