Sabtu, Januari 16, 2010

INTERNET DAN KASIH SAYANGNYA TERHADAP REMAJA

Sememangnya dunia kini semakin canggih dan melintasi sempadan yang dicipta oleh manusia itu sendiri. Masakan tidak, dengan teknologi komunikasi dan maklumat yang dihasilkan, dunia dilihat seakan tidak mempunyai sebarang penghadang bagi membatasi pergerakan dan perlakuannya.

Namun, semakin canggih dunia ini diperlakukan, semakin ramai yang seolah-olah kembali kepada zaman sebelum wujudnya tamadun peradaban. Tidak ramai dikalangan manusia yang berjaya mencapai tamadun ´kemanusiaan´ yang boleh dibanggakan dari segi kerohanian dan kejiwaannya. Kendatipun hidupnya semakin canggih dan kelihatan hebat, namun hakikatnya, jiwanya masih lagi ´kosong´ dengan sifat-sifat dan adab kesantunan yang sepatutnya sejajar dengan ´kecanggihan dan kehebatan´ tersebut.

Malang kerana golongan yang menjadi ´mangsa´ kecanggihan ini adalah golongan pelapis yang diharapkan pada satu hari nanti menjadi peneraju negara tercinta ini. Remaja digambarkan sebagai golongan yang amat rapuh ketahanan fizikal dan mentalnya itu, begitu mudah di tarik dengan ´hidangan´ berbentuk siber ini sehinggakan wujud di dalam hati dan minda mereka bahawa ´kecanggihan´ ini adalah suatu ´hidangan utama´ yang menjadi kemestian di dalam kehidupan seharian mereka.

Kegilaan ini berlaku kerana kebanyakan ibu bapa seakan lupa mengenai satu peraturan penting berkenaan ´hubungan akrab´ komputer dan remaja; mereka (komputer dan remaja tadi) tidak sepatutnya dibiarkan ´bersendirian´. Komputer seharusnnya diletakkan ditempat-tempat yang mudah diselia kerana ibu bapa pasti akan kehilangan ´kuasa´ seliaan mereka ke atas remaja (anak-anak mereka) dan seterusnya hanya mampu menjadi saksi ´keasyikan´ remaja terhadap ´kecanggihan dan kasih sayang´ yang diberikan oleh internet.

´Keakraban´ ini dilihat sebagai suatu ketagihan kepada remaja sehinggakan mereka merasakan bahawa komputer dan internet merupakan sebahagian daripada keperluan asasi yang perlu ada di dalam hidup mereka. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Joshua Benjamin dan Ferraro mengenai internet dan kesannya terhadap remaja, mereka menyatakan bahawa selain daripada fungsinya sebagai ´bank ilmu´ internet juga berupaya menarik pengunjungnya ke dalam situasi dimana mereka tidak lagi mengendahkan keadaan dunia sekeliling.

Kita dapat melihat situasi dimana seorang remaja yang dahulunya memiliki kehidupan sosial yang baik ´ditarik´ menjadi seorang remaja yang paranoid dan obses terhadap internet sehinggakan mereka tidak sabar-sabar untuk menghabiskan jadual persekolahan mereka semata-mata untuk memenuhi ´temu janji di alam maya´ mereka dengan komputer di rumah.

Proses pembelajaran di sekolah akan menjadi tidak berkesan dan bersifat sehala kerana remaja tadi tidak dapat menumpukan perhatian di dalam bilik darjah. Kerja rumah yang diberikan oleh guru juga tidak dapat dibereskan kerana ´keasyikan´ remaja tadi terhadap dunia maya yang dilayari. Kebiasaannya pula, akibat daripada ´keasyikan´ melayari dunia maya, pengisian masa dengan berkualiti diabaikan oleh remaja. Remaja akan melayari internet tanpa menyedari masa mereka terbuang ke arah suatu perkara yang tidak berfaedah kerana lazimnya remaja melayari internet bukannya atas tujuan ilmiah!

Jolokan ´bank of knowledge´ sememangnya bertepatan dengan ´kecanggihan´ internet. Segala macam ´ilmu pengetahuan´ tidak kira baik mahupun sebaliknya mampu ´diajar´ dengan hanya memerlukan satu sentuhan jari. ´Klik´ sahaja mouse anda akan terus ´dibawa´ ke dalam dunia tanpa had sempadan. Menurut satu kajian, remaja lelaki lebih cenderung melawati laman web yang berunsur pornografi berbanding remaja perempuan. Remaja-remaja ini juga selalunya akan memuat turun gambar-gambar porno yang mereka peroleh untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan di sekolah.

Selain melayari laman-laman web pornografi dan sebagainya, remaja juga sering menggunakan internet sebagai suatu medium jaringan berkomunikasi dengan dunia luar. Aktiviti ´chatting´ ini dilihat sebagai aktiviti internet yang di monopoli oleh remaja perempuan. Menerusi ´chatting´ ini, remaja akan berinteraksi secara maya dengan ´chatter´ lain diseluruh pelosok dunia. Mereka melihat corak perbualan seperti ini amat menarik walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

Komunikasi bercorak sebegini mampu mengundang pelbagai risiko daripada sekecil-kecil kes seperti samun, penipuan, dan peras ugut sehinggalah kepada risiko yang lebih besar seperti kes rogol dan bunuh.

Kecanggihan dan kehebatan teknologi komunikasi dan maklumat ini sememangnya tidak dapat dinafikan kerana melaluinya jugalah suatu ikatan silaturrahim antara dua hemosfera dunia dapat disatu dan dihubungkan. Kebaikan ini sewajarnya tidak harus disalahgunakan hanya kerana kepentingan dan sifat haloba sesetengah manusia. Remaja sebagai kumpulan sasaran mestilah menggunakan kebijaksanaan mereka dalam menilai baik buruk suatu perkara itu terlebih dahulu sebelum mengadaptasnya di dalam kehidupan mereka.

Remaja boleh menerima ´kasih sayang´ ini tetapi haruslah senantiasa berhati-hati kerana ´kasih sayang´ itu adalah persis kasih seekor ´black widow´; kasih sayang yang diberi adalah juga satu hukuman bunuh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan